Penamatan Khidmat EXCO Sah - MB Selangor TSKI

Thursday, August 14, 2014

Kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim bertarikh 13 Ogos 2014 

Penamatan Khidmat EXCO Sah Dan Diperkenankan DYMM Sultan Selangor

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana hari ini Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah mengadakan mesyuarat seperti biasa dengan korum yang mencukupi bersama empat Ahli MMKN dan tiga pegawai Ex-Officio.

Jumlah ini memadai dan sah mengikut Artikel 53 (2) (b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang menetapkan sekurang-kurangnya mempunyai empat (4) anggota MMKN untuk mentadbir negeri secara sah.

MMKN juga telah diberitahu tentang perkenan DYMM Sultan Selangor untuk tidak meneruskan perkhidmatan ahli 5 orang pegawai MMKN daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkuat kuasa semalam.

DYMM Sultan Selangor telah berkenan untuk membatalkan pelantikan Exco-Exco yang terlibat atas nasihat daripada Dato' Seri Menteri Besar secara bertulis.

Kita berpendapat bahawa 5 Exco tersebut tidak boleh diteruskan perkhidmatan mereka setelah mengeluarkan kenyataan bersama untuk tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dengan Menteri Besar dan hanya menghadiri mesyuarat MMKN bagi memantau perjalanan Kerajaan Negeri serta hanya akan menurut kehendak parti yang mereka dokongi.

Kenyataan ini sekali gus bercanggah dengan 10 Aku Janji dan Sumpah Kesetiaan yang telah dilafazkan ketika mengangkat sumpah di hadapan DYMM Tuanku Sultan.

Saya berharap rakyat Selangor tidak keliru dengan situasi ini kerana penamatan khidmat Exco-Exco ini dibuat secara sah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Saya berharap rakyat Selangor bertenang kerana pentadbiran Kerajaan Negeri berjalan seperti biasa, manakala agenda membela kebajikan untuk rakyat akan diteruskan dan diutamakan.

YAB TAN SRI DATO' SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR
13 OGOS 2014
by UTUSAN ONLINE

0 comments:

Post a Comment