PENJELASAN TERHADAP FITNAH AKMAL NASIR

Friday, November 20, 2015

PENJELASAN TERHADAP FITNAH AKMAL NASIR
Kenyataan Akhbar
Dato’ Abibullah Hj Samsudin
Ketua Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM
Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) adalah sebuah institusi yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah 1952 pada 13 Oktober 1976 sebagai instutusi yang berorentasikan ekonomi dan kebajikan.
Salah satu program pembangunan ekonomi Islam yang paling berjaya ialah Program Ar Rahnu YaPEIM yang kini telah dilaksanakan melalui 202 buah cawangan di seluruh negara.
Malah YaPEIM adalah pelopor dan peneraju dunia dalam memperkenalkan instrumen Ar Rahnu sejak 1993. Program Ar Rahnu terbukti telah menjana keuntungan yang amat memberangsangkan. Tahun ini sahaja, YaPEIM berjaya menjana pendapatan mencecah RM83 juta dari aktiviti Ar Rahnu. Pendapatan ini telah meningkat sebanyak RM11 juta berbanding RM72 juta tahun 2014.
Selain daripada Ar-Rahnu, YaPEIM kini mula terlibat secara aktif di dalam bidang perniagaan yang lain seperti pasaraya, perniagaan berasaskan emas, bidang keselamatan (termasuk perlindungan takaful dan CCMS) dan pelaburan hartanah. Ketika ini YaPEIM sedang menggerakkan Tabung Ibadah Qurban dan meneliti peluang untuk menceburi di bidang penternakan.
Melalui pelbagai pendekatan ekonomi yang dilaksanakan ini, Rezab Pendapatan YaPEIM terus bertambah dengan Aset Bersih sebanyak RM138 juta pada tahun 2014 dan dijangka bertambah menjadi RM160 juta sehingga Disember tahun 2015. Berdasarkan Laporan Kewangan 2014, jumlah aset keseluruhan YaPEIM berjumlah RM1.034 bilion.
YaPEIM berjaya menjana pendapatan sendiri tanpa perlu bergantung kepada bantuan (geran) kerajaan dalam pengurusan dan operasinya.
Hasil dari kejayaan dan keuntungan yang dijana melalui pelbagai aktiviti perniagaan pembangunan ekonomi YaPEIM memperkenalkan pelbagai program kebajikan seperti Skim Kecemerlangan Pelajar Nasional – SANTUN (melibatkan 5,200 orang pelajar yang cemerlang termasuk pelajar dari keluarga miskin), Program Sinar Kasih dan Skim Khairat Nasional (dengan kumpulan sasar 200 ribu keluarga yang berdaftar di bawah e-Kasih), Program Pembangunan Komuniti dan Program Pembangunan Keusahawanan (mencecah 120,000 orang pada penghujung tahun 2015). Untuk rekod, YaPEIM juga merupakan penyedia dana dan pelopor utama bersama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar Malaysia di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebelum ianya diambil alih oleh Kerajaan.
Seiring dengan pendekatan YaPEIM yang ingin berkongsi dengan masyarakat dalam melaksanakan pelbagai program kebajikan, YaPEIM turut membuka ruang kepada masyarakat untuk menyumbang melalui skim-skim yang diperkenalkan termasuk melalui Skim Potongan Gaji Bulanan.
YaPEIM sentiasa berpegang kepada prinsip Syariah dan nilai integriti yang tinggi dalam urusan pengoperasiannya
Amat malang bagi umat Islam, walaupun YaPEIM telah menempa pelbagai kejayaan dan telah menebar bakti sejak mula beroperasi, kini YaPEIM terpaksa berdepan dengan pelbagai pertuduhan jahat daripada Akmal bin Nasir, Ketua Cabang PKR Johor Bahru merangkap Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan [National Oversight and Whistleblowers (NOW)] yang bertujuan menjatuhkan reputasi YaPEIM.
Akmal bin Nasir pada 9 November 2015 membuat satu pertuduhan bahawa YaPEIM telah membelanjakan wang sejumlah RM223,000.00 untuk kempen pilihan raya kecil di Parlimen Rompin.
Kemudiannya pada 11 November 2015, Akmal bin Nasir membuat pertuduhan bahawa Presiden dan Timbalan Presiden serta keluarganya menerima pendapatan keseluruhan sebanyak RM154,700 sebulan.
Pada 13 November 2015, Akmal bin Nasir mengeluarkan lagi kenyataan bahawa terdapat satu skandal melibatkan YaPEIM di mana wang sebanyak RM410,978.56 yang sepatutnya digunakan untuk amal jariah telah disalahgunakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B Dato’ Seri Jamil Khir Baharom. Akmal bin Nasir menambah bahawa walaupun perjalanan tersebut dikatakan untuk tujuan “Pemantapan dan Pemerkasaan Kelab Santun YaPEIM”, berdasarkan perbelanjaan-perbelanjaan yang dicaj dan dibayar oleh YaPEIM adalah bersifat sukaria dan langsung tiada unsur amal jariah. Beliau turut menyatakan bahawa pembayaran dibuat menggunakan duit yang dikhususkan untuk kegunaan anak yatim dan miskin.
Namun keesokan harinya pada 14 November 2015 beliau tampil membuat pembetulan jumlah yang dibelanjakan iaitu sebanyak RM590,000.00 yang dibelanjakan di dalam program di Amerika Syarikat dan mendakwa hanya melibatkan 100 orang peserta sahaja.
Terbaru pada 16 November 2015 petang, Akmal Nasir membuat pertuduhan bahawa YaPEIM membelanjakan sebanyak RM290,000.00 bagi penganjuran kursus perkahwinan di Paris yang dirasmikan oleh Dato’ Seri Jamil Khir Baharom. Beliau membuat tuduhan bahawa program tersebut tidak mencerminkan matlamat kebajikan dan amal jariah.
YaPEIM memandang serius segala pertuduhan yang dilemparkan oleh Akmal Bin Nasir kerana ianya telah menyebabkan krisis keyakinan dikalangan penyumbang dan meletakkan YaPEIM di dalam pandangan umum yang sangat buruk. Ianya turut memberi kesan negatif dalam urusan perniagaan YaPEIM. Tuduhan penyalahgunaan dan penyelewangan dana Amal Jariah (Skim Potongan Gaji) serta pembaziran adalah tuduhan berat yang berniat jahat dan bermotifkan politik. Lebih mendukacitakan ia telah diterima oleh sebahagian daripada masyarakat di dalam dan luar negara berdasarkan maklumat yang terkandung dalam dokumen dalaman YaPEIM yang dicuri dan kemudiannya diputarbelitkan oleh NOW.
YaPEIM dengan ini menyangkal sekeras-kerasnya segala pertuduhan dan ingin menjelaskan serta menyatakan dengan tegas bahawa:
1. YaPEIM bukanlah sebuah badan kerajaan. YaPEIM adalah sebuah perbadanan yang tertakluk kepada Surat Ikatan Amanah yang berdaftar di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (selepas ini dirujuk sebagai “Surat Ikatan”).
2. Setakat tahun 2014, YaPEIM telah mengeluarkan sejumlah RM453,089,453.00 bagi tujuan program pembangunan sosio-ekonomi (amal jariah). Dalam tempoh yang sama jumlah kutipan sumbangan amal jariah YaPEIM melalui Skim Potongan Gaji (SPG) dan skim-skim lain hanyalah sebanyak RM334,931,764. Manakala sejumlah RM118,157,689.00 adalah jumlah penambahan dari Dana Perniagaan YaPEIM bagi pengeluaran amal jariah yang diambil daripada sumber dana perniagaan YaPEIM.
Kutipan SPG dan Skim-skim lain RM334,931,764.00
Dana Perniagaan YaPEIM RM118,157,689.00
Jumlah Pengeluaran Amal Jariah RM453,089,453.00
3. Maka tuduhan bahawa YaPEIM menyalahgunakan atau menyeleweng kutipan duit sumbangan amal jariah daripada para penyumbang di bawah Skim Potongan Gaji adalah tidak benar sama sekali dan jelas ianya merupakan satu fitnah jahat yang bertujuan untuk menghakis keyakinan penyumbang kepada institusi perniagaan Islam seperti YaPEIM.
4. Atas sebab itu, tidak timbul sebarang isu kononnya YaPEIM membayar elaun Presiden dan Timbalan Presiden menggunakan duit sumbangan amal jariah melalui Skim Potongan Gaji. Segala pembayaran gaji, elaun dan keseluruhan kos operasi ditanggung sepenuhnya melalui dana daripada aktiviti perniagaan dan perkhidmatan yang dilaksanakan YaPEIM. Lebih penting sejak awal penubuhan hingga kini YaPEIM diaudit oleh Jabatan Audit Negara.
5. Presiden dan Timbalan Presiden telah memberi sumbangan yang besar dan berkesan kepada kemajuan dan perkembangan YaPEIM. Melalui usaha dan komitmen penuh mereka dan disokong pengurusan dan semua kakitangan menjadikan Rezab Pendapatan YaPEIM terus bertambah dengan Aset Bersih sebanyak RM138 juta pada tahun 2014 dan dijangka bertambah menjadi RM160 juta sehingga Disember tahun 2015. Jumlah keseluruhan Aset YaPEIM berjumlah RM1.034 bilion.
6. YaPEIM menjalankan perniagaan seakan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti PNB, Tabung Haji dan Felda. Namun bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah tidak menikmati pembayaran bonus dan dividen sebagaimana syarikat berkaitan kerajaan atau institusi korporat yang lain.
7. Berkenaan perlantikan ahli keluarga Timbalan Presiden di dalam YaPEIM, ingin dijelaskan bahawa pelantikan mereka telah dibuat mengikut proses dan prosedur perlantikan yang sah dan tiada peraturan yang menghalang pelantikan ahli keluarga di dalam YaPEIM. Mereka mula dilantik di dalam anak syarikat YaPEIM berdasarkan kelayakan dan keperluan yang wujud. Wan Johan Wan Ismail memiliki ijazah sarjana muda Perancangan, Bangunan dan Perumahan dan Ijazah sarjana (masters) pengurusan Projek daripada Universiti Sains Malaysia manakala Tuan Haji Ismail bin Mohd Nasib pula merupakan pemegang Ijazah Sarjana Kaunseling University of Western Michigan, Amerika Syarikat, post graduate Diploma Universiti Kebangsaan Malaysia dan Sarjana Muda Sejarah, Universiti Malaya. Beliau juga merupakan pensyarah Bachelor of Education TESL Universiti Kebangsaan Malaysia dan jawatan terakhir adalah Pegawai Kebajikan Pelajar, Chicago, Amerika Syarikat. Mereka juga telah memberikan sumbangan kepada pembangunan perniagaan YaPEIM.
8. Setiap aktiviti atau keputusan yang dibuat di dalam YaPEIM adalah berdasarkan kepada polisi yang telah diluluskan oleh Lembaga Pemegang Amanah selaras dengan Surat Ikatan. Ahli Lembaga Pemegang Amanah pula terdiri daripada 12 ahli lembaga dari pelbagai latarbelakang antaranya akauntan, peguam, bekas mufti, rektor universiti, mantan Timbalan Naib Canselor, Pegawai Tinggi Kerajaan dan lain-lain. Selain itu YaPEIM turut dikawal-selia Jawatankuasa Pengawasan Syariah yang sentiasa memantau segala urusan operasi YaPEIM.
9. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh YaPEIM adalah bertujuan untuk memenuhi matlamat penubuhan iaitu pembangunan sosio-ekonomi umat Islam dan kebajikan. YaPEIM telah menjalankan pelbagai program samada di dalam negara mahupun di luar negara. Berkenaan program-program yang dijalankan oleh YaPEIM di luar negara ianya merupakan sebahagian daripada Strategi Lautan Biru bagi menerapkan nilai-nilai kepimpinan dan keusahawanan di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara selain memastikan kebajikan mereka diberi perhatian. Program-program yang telah dirangka juga adalah bertujuan memberikan peluang kepada pelajar-pelajar untuk berdialog secara terus dengan YB Menteri yang bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Islam. Sepanjang dialog dan interaksi yang dibuat mereka telah diberikan kefahaman dan penerangan berkaitan isu-isu kenegaraan, isu-isu semasa hal ehwal Islam, isu-isu keganasan, LGBT dan lain-lain.
10. YaPEIM ingin menyangkal tuduhan bahawa YB Menteri telah hadir ke program-program anjuran YaPEIM di luar negara adalah untuk bersukaria. YB Menteri telah dijemput oleh YaPEIM bukan sahaja untuk merasmikan dan terlibat di dalam program-program secara langsung dengan para pelajar tetapi juga mewakili YaPEIM dalam mengadakan perbincangan dengan pihak Kedutaan Malaysia dan Education Malaysia yang menjaga secara langsung kebajikan para pelajar Malaysia di luar negara.
11. Berdasarkan fakta-fakta di atas amat jelas sekali bahawa pertuduhan-pertuduhan yang dilemparkan oleh Akmal Bin Nasir dan NOW adalah tidak berasas sama sekali, berunsur fitnah dan berniat jahat. Ianya telahpun berjaya menghakis keyakinan para penyumbang dan dengan persepsi serta pandangan buruk masyarakat dan pelabur terhadap YaPEIM sudah pasti menjejaskan perniagaan dan pertumbuhan YaPEIM sebagai satu badan yang telah banyak menyumbang ke arah pembangunan sosio-ekonomi umat Islam.
12. Tambah memeritkan daripada fitnah ini, adalah kesan kepada penerima-penerima sumbangan amal jariah YaPEIM yang terdiri daripada 200,000 keluarga kumpulan sasar Program Sinar Kasih dan Skim Khairat Nasional, 120,000 usahawan kecil yang terlibat dalam program pembangunan komuniti dan program pembangunan usahawan serta 5,200 pelajar di bawah Skim Kecemerlangan Pelajar Nasional (SANTUN).
13. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang masih mempunyai kepercayaan dan terus menyokong YaPEIM dalam menjayakan misi membangun sosio-ekonomi umat Islam di negara ini.
14. YaPEIM dan individu-individu yang kredibilitinya terjejas teruk dengan fitnah NOW akan mengambil tindakan undang-undang dalam masa terdekat. YaPEIM juga memohon kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan tertentu bagi menyekat kegiatan jahat NOW mencuri dokumen-dokumen dalaman YaPEIM dan seterusnya menyebarkan maklumat palsu dan memutarbelitkan fakta bertujuan memfitnah YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato Seri Jamil Khir Baharom, YaPEIM dan peneraju-peneraju tertinggi YaPEIM.
Dato’ Abibullah Hj Samsudin
Ketua Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM
nota: seperti dipaparkan di laman facebook YaPEIM.