Kematian Ketua Keluarga - Apa langkah seterusnya?

Monday, April 20, 2020


Kematian Ketua Keluarga — Apa langkah seterusnya?

Ketika abah saya pulang ke rahmat Illahi, tiada sesiapa pun dikalangan kami adik beradik biasa tempuhi proses dan perubahan hidup tanpa abah. Saya yakin, ramai juga begitu. Lantas, akibat dari ketidak-biasaan serta ketiadaan pengalaman termasuk dari saudara-mara, perjalanan selepas itu menjadi perlahan ataupun sukar. Ditambah lagi jika arwah seorang yang berharta, maka pastinya saat selepas itu menjadi titik permulaan sejauh mana ahli keluarga mampu diuji dengan dugaan harta dan kesenangan.

Maka, apa yang perlu dilakukan?

Selepas diisytiharkan mati

Sesaat selepas diisytiharkan mati, para ahli keluarga terdekat perlu melakukan perkara berikut:
  1. Memaklumkan kepada semua ahli keluarga (utamakan yang dekat).
  2. Memaklumkan kepada pihak surau dan pihak pengendali khairat kematian
  3. Buat persediaan untuk menyambut jenazah dan perancangan proses perkuburan dengan pihak berkaitan — antaranya ialah penyediaan kubur, proses pengangkutan jenazah dari lokasi perhentian (rumah, surah dan kubur), permit perkuburan, dan menjelaskan bil hospital (jika ada)
  4. Solat jenazah dan kebumikan segera
  5. Jika memerlukan perbelanjaan, sebaiknya jangan diguna wang simpanan simati kerana takut kita sudah terpakai yang bukan hak kita. Gunakan duit khairat, sumbangan dan sebagainya yang diterima selepas kematian arwah seperti duit insuran dan sebagainya. Catitkan setiap perbelanjaan ini bagi memudahkan proses pemulangan semula jika perlu.
Sesudah proses pengebumian, ambil masa bersama ahli keluarga yang ada untuk berehat dan bersedih. Perbanyakkan membaca Al-Quran dan sedekahkan pada arwah. Rilek dan tenangkan fikiran terutamanya yang rapat dengan arwah. Tidak perlu peningkan kepala untuk buat kenduri arwah 3 hari 3 malam la, kenduri 100 hari la, baca Yassin 3 malam berturut la. Yang penting rehatkan badan kerana urusan pengebumian dari awal hingga akhir memang memenatkan. Tambah pula jika kita adalah anak lelaki utama si mati.

Selepas beberapa hari

Jangan lama sangat ya. Mulakan langkah seterusnya; iaitu:
  1. Maklumkan kepada pihak JPN untuk proses pengeluaran surat kematian.
  2. Kenali arwah — Siapa ibu/bapa, masih ada lagi kan ibu-bapanya, adik beradiknya, isteri dan anak2, berapa orang isteri dan berapa orang anak (anak lelaki dan anak perempuan). Ambil masa untuk kumpul maklumat ini kerana ia penting ketika proses hibah, faraid, mahupun penyelesaian hutang. Ini amatlah penting. Ketika abah saya meninggal, saya tidak fikirkan perkara ini. Tapi setelah melalui proses mahkamah bagi proses faraid, baru tahu bahawa tok saya berbini 3 dan bukan 2 (selama ini abah hanya bawa kami ke 2 kampung bila raya). Dan oleh kerana abah pergi dulu sebelum mak dia, maka, perlu diturut pada semua adik beradik sebapanya termasuklah dengan bini yang ketiga itu. Itu yang penting untuk salasilah keluarga disimpan rapi. Kerana ia akan melibatkan perkara yang penting selepas kita tiada. Tambah2 kalau kita berharta. Segala berkaitan dengan keluarga termasuk salinan surat beranak dia dan keluarganya, IC dia dan keluarganya perlu dikumpul.
  3. Senarai Hutang — Senaraikan hutang-piutang simati seperti hutang rumah, kereta, pinjaman, dan kesemuanya termasuk jika ada saudara mara yang memaklumkan akan janji arwah seperti janji berikan duit atau meminjam wang. Catatkan nama, nombor telefon, alamat serta jumlah hutang. Jika dengan bank, sebut sahaja bank apa dan berapa jumlah. Kumpulkan segala dokumen berkaitan dan susun didalam fail. Senarai hutang ini juga mesti termasuk mereka yang berhutang dengan arwah.
  4. Senarai Harta — Asingkan harta sepencarian dan harta arwah. Catitkan yang mana harta boleh alih dan yang mana harta tidak boleh alih. Jika ada simpanan, KWSP, Saham, dan apa jua berkaitan harta catitkan juga. Harta sepencarian ini bermula dari saat arwah kahwin seperti rumah dibeli bersama, kereta, dan lain-lain. Waktu ini amat penting untuk ketahui yang mana telah diberi penama dan yang mana belum diletakkan penama. Ini akan memudakan proses akhir nanti.
  5. Kumpul semua dokumentasi berkaitan hutang dan harta dan letak dalam satu kotak khas berlainan fail untuk memudahkan proses nanti. Pastikan setiap dokumen disalin.
  6. Maklumkan kepada pihak pemberi hutang seperti Bank akan perginya arwah agar bank hentikan kutipan hutang dan keluarkan surat penyelesaian. Jika hutang ada insuran, maka, hutang tersebut mungkin dilangsaikan melalui insuran. Tapi jika tidak, kemungkinan keluarga arwah perlu langsaikan.
Selesai proses pengumpulan maklumat. Sekarang adalah proses yang sukar dan renyah. Inilah yang akan menyebabkan ramai kecewa, marah atau gila jika tidak faham dan tidak berilmu. Iaitu proses penyelesaian hutang dan harta. Jika arwah ada sediakan wasiat dan hibah, maka perkara ini telah dimudahkan. Namun, wasiat boleh ditentang dan hibah hanya terhad pada jumlah tertentu (jika tidak silap saya, tidak boleh lebih dari 2/3 harta selepas hutang diselesaikan).

Proses Akhir

Walaupun ia adalah urusan yang akhir, tetapi ia merupakan urusan yang paling panjang. Adakalanya berlarutan bertahun akibat dari pelbagai masalah dan juga tuntutan dari pelbagai sudut termasuk perbalahan keluarga dalam merebut harta pusaka.
  1. Dapatkan borang berkaitan faraid di Pejabat Tanah dan Galian jika harta si mati tidak melebih RM2juta. Jika lebih, urusan dia lain pula dan perlu melalui proses di mahkamah sivil.
  2. Kumpulkan semua ahli keluarga berkaitan. Yang paling utama ialah yang ada pertalian serta yang termasuk dalam senarai faraid. Apabila semua yang berkaitan sudah ada, maklumkan jumlah harta arwah, jumlah harta sepencarian dan jumlah hutang.
  3. Yang perlu diutamakan ialah hutang. Dapatkan komitmen semua pihak untuk menyelesaikan hutang dahulu. Jika semua ahli keluarga tidak berkemampuan, dapatkan persetujuan semua untuk gunakan harta arwah bagi menjelaskan hutang terlebih dahulu sebelum difaraidkan. Kena faham, penama seperti di dalam KWSP dan Tabung Haji bukan bermakna ia milik mereka, tetapi diberi kuasa untuk menguruskan harta terbabit. Jika tidak mendapat persetujuan, maka keputusan mahkamah nanti amat penting dalam menentukan pengendalian hutang dan harta arwah. Disini pentingnya ilmu. Semua pihak berkaitan kena maklum bahawa hutang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum harta. Jika mampu selesaikan tanpa menunggu proses pembahagian harta mengikut faraid, ia adalah lebih baik.
  4. Jelaskan harta sepencarian juga. Untuk ini, perlu faham bahawa setiap harta sepencarian perlu dibahagi dua. Bahagian arwah (1/2) itulah yang akan dihibah / difaraidkan.
  5. Tutup semua akaun bank, saham, simpanan yang berkaitan dengan arwah.
  6. Serahkan semua borang berkaitan kepada pihak berkaitan seperti Bank, Pejabat Tanah dan Galian, Mahkamah Sivil (jika harta lebih RM2juta), Pihak memberi pinjaman seperti LPPSA (Lembaga Pinjaman Perumahan Sektor Awam), dan segala berkaitan. Pastikan mereka berkaitan telah tandatangani borang berkaitan seperti borang faraid. Semasa penyerahan borang ini, kena senaraikan dengan pasti hutang dan harta bagi memudahkan pihak mahkamah membuat keputusan nanti.

Langkah Terakhir Selepas Urusan Mahkamah

Apabila sudah serahkan semua borang dan mahkamah telah panggil untuk sebutan, maka, berikut adalah langkah akhir selepas keputusan.
  1. Selesaikan hutang jika masih ada.
  2. Selesaikan faraid mengikut keputusan mahkamah.
  3. Selesaikan urusan arwah yang belum terlaksana seperti badal haji, melaksanakan qurban atau aqiqah, dan sebagainya.
Itu sahaja yang saya dapat kongsikan. Hingga tarikh ini, selepas 4 tahun arwah abah pergi, urusan hartanya masih belum diselesaikan kerana masih ada pihak yang bersangkut-paut belum ditemui. 
Nasihat saya pada mereka yang ada bersangkut-paut dengan sesiapa, mudahkan urusan mereka yang memerlukan. Jika arwah tidaklah berharta, niat halalkan segala milik anda bagi memudahkan urusan mereka. Jangan kerana harta yang sekangkang kera, maka kita bermatian meminta hingga menyukarkan mereka yang ditinggalkan simati.

Ingatlah, adakalanya keluarga terdekat simati seperti isterinya amat memerlukan harta peninggalan simati lebih dari anda memerlukannya. Mudahkan mereka, InsyaAllah, Allah mudahkan kita walaupun kita layak dari segi faraid.

Sekadar pandangan dan perkongsian pengalaman sendiri.



Rujukan:

  1. https://www.mais.gov.my/harta-pusaka/2/
  2. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3859-al-kafi-1463-bolehkah-harta-peninggalan-dibahagi-secara-sama-rata-tanpa-ikut-faraid
  3. https://www.researchgate.net/publication/329465923_HAK-HAK_HARTA_PUSAKA_SEBELUM_PEMBAHAGIAN_KEPADA_AHLI_WARIS
  4. https://www.researchgate.net/publication/321491230_PENSYARIATAN_FARAID_MENGIKUT_KERANGKA_FIQH_ISLAM
  5. http://kelantan.jksm.gov.my/jksnk/v2/index.php/ms/2-uncategorised/153-faraid1
  6. https://wccpenang.org/faraid/
  7. https://www.kafilahbuku.com/kitab-pendahuluan-faraid-01
  8. http://pustaka.upsi.edu.my:8080/webopac/Record/0000252205/Description
  9. http://faraid.usm.my/msl/default.html
  10. http://www.esyariah.gov.my/portal/page/portal/Portal%20E-Syariah%20BM/Portal%20E-Syariah%20Pengiraan%20Faraid
  11. http://e-muamalat.islam.gov.my/images/pdf-bahan-ilmiah/Hukum_Faraid2_us_ridzuan.pdf
  12. https://www.hmetro.com.my/hati/2018/08/367735/memahami-konsep-hibah
  13. http://kelantan.jksm.gov.my/jksnk/v2/index.php/ms/2-uncategorised/148-hibah
  14. https://wasiat.com.my/beza-hibah-dan-wasiat/
  15. https://www.tabunghaji.gov.my/en/savings/services/hibah-amanah-th
  16. https://www.kwsp.gov.my/o/kwsp-theme/css/assets/pdf/Borang_Penamaan_KWSP4_29122017.pdf
  17. https://www.kwsp.gov.my/documents/20126/140512/KWSP_4B.pdf/34d6d0b5-d07a-2df9-df43-50543c5b16ff
  18. https://semakanonline.com/penamaan-kwsp/
  19. https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2019/03/539306/penama-kwsp-elak-makan-duit-haram-bahagikan-ikut-faraid
  20. https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2019/03/539306/penama-kwsp-elak-makan-duit-haram-bahagikan-ikut-faraid

0 comments:

Post a Comment