Gambar di ambil dari |
Menjadi lumrah kehidupan bahawa si-ibu atau yang lebih tinggi autoritinya atau ilmunya akan memberikan teguran kepada anak-anak atau orang muda. Namun, jika disalah-tafsir akan menyebabkan tujuan asal yang murni bertukar menjadi mimpi ngeri buat penerima nasihat. Malah, situasi akan bertambah teruk apabila ada pula yang memarakan lagi api yang asalnya untuk membakar semangat tetapi diminyakkan ia hingga terbakar hangus.
Saya ingin berkongsi satu melankolia drama masyarakat yang saya olah untuk memberi penerangan apa yang ingin saya sampaikan.
Ibu: (melihat anaknya tidak lakukan kerja sekolah). Kau ni mamat (bukan nama sebenar), nak jadi apa. Kalau kau tak rajin belajar mamat, nanti jadi tak pandai. Bila tak pandai, nak kerja susah. Nak meniaga pun kena pandai mengira. Nanti susah. Kita bukan orang kaya. Tak kan kamu nak hidup miskin juga.
Mamat: Ye mak. Mamat akan cuba sedaya upaya untuk keluar dari kesusahan ini dengan bersungguh buat kerja sekolah. Mamat dengar cakap mak.
(dalam masa yang sama, perbualan dua beranak tadi didengari oleh anak jiran sebelah yang mendengar dengan jelas sebahagian perkataan sahaja).
Abu (bukan nama sebenar), anak jiran sebelah berjumpa dengan Udin (bukan nama sebenar juga). Lalu diceritakan apa yang didengar tadi.
Abu: woi Udin. Mamat tu pemalas. Mak dia suruh buat kerja sekolah, tak nak buat. Nak susah. Sudahlah tak pandai. Dia suka hidup miskin kut. (Abu olah mengikut pemahaman dia sendiri tanpa mendapat penjelasan sebenar dari si mamat)
Udin: Biar betul. Aku dah agak dah. Kompom dia miskin nanti.
Dan seterusnya cerita itu ditokok-tambah dan diperbaiki serta ditambah rencah.
Satu hari disekolah, mamat lalu didepan rakan-rakannya.
Rakan-rakan mamat: apesal ko bodoh mamat... (kah kah kah kah)... dia suka hidup miskin (kah kah kah kah) ... mamat miskin .. mamat miskin....
Dan begitulah persepsi negatif yang dibina ke atas mamat...
Apa yang kita dapat perhatikan di sini ialah:
Apabila persepsi negatif dibina, persepsi negatif ini cukup kuat dan sukar diperbetulkan
Apabila masyarakat melakukan 'selective reading/hearing', maka kesimpulan yang dibuat juga akan tersasar
Apabila masyarakat membina satu konklusi atas sesuatu yang tidak pasti dan menghebahkannya, maka konklusi itu sendiri menjadi benar pada pandangan umum walaupun hakikatnya tidak.
Gambar dari http://dailyreporter.com/tag/cartoon/ |
Mungkin orang akan kata bahawa ini sekadar cerita kosong dan bukan terjadi di dalam masyarakat kita. Sebenarnya dan hakikat kebenaran ialah, ia memang wujud, hatta pada bidang korporat dan negara. Seringkali kita dimomokkan oleh berita yang tidak diketahui sumbernya. Malah seringkali juga kita yang menerima berita hanya melakukan 'selective reading/hearing', yang menyebabkan kita membina persepsi yang salah. Dan seringkali juga kita melihat begitu ramai manusia yang menjadi hakim atas satu peristiwa yang bersandarkan pada berita yang belum pasti tanpa menyelidiknya terlebih dahulu. Perbuatan ini bukan sahaja menyebabkan satu kebaikan atau kekurangan yang boleh diperbaiki, menjadi keburukan atau nampak seperti keburukan, tetapi juga menyebabkan yang terlibat mendapat palitan keburukan itu tanpa disedari hingga menjejas proses penambah-baikan dan mungkin jua membantut pembaikian yang sepatutnya.
Didalam cerita tadi, sang ibu sebenarnya menegur dan memberi peringatan agar anaknya berubah supaya sinar hidupnya menjadi lebih baik dan si anak bersetuju berubah demi kebaikan semua. Malangnya, akibat dari persepsi negatif terbina hasil dari olahan cerita yang tidak sempurna akan menyukarkan proses perubahan itu kerana tekanan yang dilemparkan.
Begitu juga dalam kehidupan sebenar. Andai kata kita bina persepsi negatif ke atas negara kita di mata dunia, maka, pertumbuhan yang direncana akan menjadi sukar kerana masa lebih banyak akan digunakan untuk memulihkan persepsi berbanding membina negara.
Begitu juga kehidupan berkeluarga. Masa untuk kita memulih semangat anak kita akan mengambil masa yang lama jika kita selalu memberi pandangan negatif terhadap mereka.
Oleh itu, apabila teguran diberi, yang mendengar, membaca dan melihat, tenungkanlah dari pandangan positif, dan berikan teguran yang konkrit dan bukan menempelak dan menjatuhkan hasil dari pemahaman yang dibina atas persepsi negatif dan 'selective reading'.
Sebagai seorang ISLAM, kita sepatutnya sudah mahir dan tidak 'selective reading' kerana Al-quran itu bukan dibaca separuh-separuh dan isinya difaham sebahagian, tetapi keseluruhannya difahami. Kita sudah dididik untuk memahami dalam konteks yang meluas dan bukan pada sebaris ayat. Maka, amalkanlah apa yang telah kita pelajari.
Sekadar pandangan saya.
0 comments:
Post a Comment