Zikir Sambil Menari - Boleh ke?

Wednesday, July 3, 2013

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din
Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din
Kadang-kadang ada yang memberi jawapan tentang sesuatu hukum itu mengikut ‘rasa’, seperti soalan anda tentang hukum menari yang diamalkan oleh puak sufi seperti di atas, penjawab itu berkata rasanya tidak boleh. Mungkin juga ada orang lain yang akan menjawab rasanya boleh.
Jawapan bagi persoalan agama bukan boleh dimain dengan ‘rasa’. Ia memerlukan sandaran hukum yang perlu dirujuk kepada sumber yang sahih.
Berkenaan dengan zikrullah, Allah SWT berfirman (mafhumnya): “Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah ‘Ali-’Imran ayat 191).
Ayat ini memberi isyarat bahawa zikrullah boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan dan gaya.
Ummul Mukminin Aisyah r.ha. pernah melaporkan bahawa Rasulullah SAW berzikrullah (berzikir kepada Allah) dalam semua keadaan. Sedang berjalan, menaiki kenderaan, di atas kenderaan, berbaring, duduk dan bermacam lagi pernah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.
Dalam satu riwayat pernah diceritakan bahawa Jaafar bin Abi Talib r.a (sepupu Rasulullah), pernah menari-nari melenggok lentuk di hadapan Rasullullah SAW sebaik sahaja beliau mendengar Rasulullah SAW menyebut kepada beliau, “Allah menjadikan rupa parasmu seiras dengan Allah menciptakan daku.”
Mendengar kata-kata yang seindah dan semurni itu, terus ditakbirkan dengan menari-nari di hadapan Rasullullah SAW. Tingkah laku beliau itu atau ‘body language’ beliau tidak ditegah atau ditegur oleh Rasulullah SAW.
Di sinilah dikatakan atau dijadikan asal usul sandaran bahawa menari-nari sambil berzikir kepada Allah yang dilakukan oleh ahli tarikat atau golongan sufiyah, ada sandarannya.
Sahlah berlaku tarian di majlis zikir yang dihadiri oleh ulama besar yang muktabar. Antara mereka ialah al-Imam Izzuddin Abdus Salam dan tidak diengkarinya.
Ditanya Shaikhul Islam Sirajuddin al-Balqini tentang persoalan tari- menari dalam majlis zikir, lalu dijawab beliau dengan mengiyakannya, yakni boleh dilakukan.
Ditanya al-Allamah Burhanuddin al-Abnasi, perkara yang sama, maka beliau menjawab dengan membolehkannya.
Ditanya ulama besar dalam mazhab Hanafi dan Maliki, semuanya menjawab, “Tidak mengapa dan boleh dilakukan.”
Semua jawapan ini dibuat dengan bersandarkan kepada ayat dalam Surah ‘Ali-’Imran di atas berserta hadis yang diriwayatkan oleh Jaafar bin Abi Talib r.a. Adapun tarian yang dilarang adalah tarian yang bercampur lelaki perempuan yang bukan mahram, lebih-lebih lagi ia diadakan dalam majlis yang kemaksiatannya ketara seperti berpakaian tidak menutup aurat, diiringi dengan muzik dan suasana yang mengundang kepada syahwat dan lain-lain.
Itulah yang disebut haram. Haram bukan soal tarian, tetapi dilihat dari aspek persembahan, suasana dan dilihat dengan jelas kemaksiatan. Adapun tarian dalam zikrullah, adalah tarian khusus yang lahir daripada rasa kesyahduan kepada Allah, dengan kelazatan munajat dan bertaladdud (berseronok kerana zikrullah).
Perasaan seronok dan lazat itu yang diketahui oleh orang yang mengetahuinya, merupakan anugerah Allah kepada mereka. Mereka hendak menunjukkan bahasa badan (body language) mereka dengan menari-nari tanda keseronokan, tetapi dibuat kerana Allah SWT. Atas itulah pada pendapat saya bahawa tarian dalam majlis-majlis sufi itu adalah harus.
Untuk menyatakan haram atau tidak boleh memang mudah, tetapi harus disandarkan kepada dalil. Jika tidak ada dalil atau hujah, berbaliklah kepada hukum feqah bahawa, “Asal semua perkara adalah harus sehingga ada dalil yang membuktikannya haram.”
Oleh itu berzikrullah yang difahami dari ayat al-Quran di atas, hadis Rasulullah SAW dan pandangan ulama muktabar, maka saya menyatakan ia harus dan bukanlah haram.
Wallahu ta’ala a’lam.
Dipetik terus dari Harakah Online

Sumber lain:
  1. Perbincangan di Halaqah.Net http://halaqah.net/v10/index.php?topic=14406.20
  2. Perbincangan lagi di http://firdaushadi.blogspot.com/2011/03/zikir-menari-suatu-penjelasan.html
  3. Perbincangan lagi http://jomfaham.blogspot.com/2009/05/zikir-berjoget.html

Video:
  1. Adakah ini tarian yang dibenarkan? Ya Hanana http://www.youtube.com/watch?v=DKInT6lgtdI
  2. Bagaimana pula dengan ini? Imamul Hadra - Shaykh Nazim Haqqani http://www.youtube.com/watch?v=oPZxrHchfCA
  3. Adakah ini Zikir sambil menari yang dibenarkan? http://www.youtube.com/watch?v=uDh4s02Hfkw

Pandangan Saya
Saya harap tuan guru harun din boleh memperjelaskan lagi bagaimanakah rupa tarian sambil berzikir yang dibenarkan. Contohnya: Jika kita keseorangan didalam bilik, bolehkah kita menari mengikut apa jua gaya sambil berzikir? Saya pernah melihat beberapa video youtube yang menunjukkan beberapa pelajar (ada video menunjukkan sekumpulan pelajar perempuan.. dan ada juga video yang menunjukkan sekumpulan pelajar lelaki didalam bilik asrama) melompat riang sambil mengalunkan zikir dan selepas ia dipaparkan, ramai mengata mengenai ketidak sopanan dan tiada penghormatan pada ucapan yang suci seperti zikrullah. Kita juga pernah digemparkan satu ajaran (yang dikatakan sesat) yakni zikir gendang dimana kumpulan itu hanya melompat setempat, berzikir "Laaillahaillawlah" sambil diiringi paluan gendang. Ajaran ini telah diwartakan sebagai sesat dan haram.
Oleh kerana itu, saya harap tuan guru harun din akan memberikan pencerahan lebih terang.
Dalil pertama yang digunakan ialah Surah Ali-Imran. Saya bersetuju dengan dalil ini kerana kita wajar didalam hati kita sentiasa berzikir ketika melakukan apa jua perkara seperti memandu kereta atau ketika melayari internet.
Dalil kedua pula yang dipaparkan diatas ialah dari Ummul Mukminin dan ia menepati akan dalil pertama.
Dalil ketiga pula ialah perlakukan Jaafar Abi Tolib. Dalam dalam ini, saya harap tuan guru boleh memperjelaskan lagi dan kalau boleh disertakan sekali cara dan contohnya tarian yang dibenarkan. Adakah Jaafar sekadar menggoyangkan badan atau melakukan tarian seperti tarian gelek penari arab? Adakah boleh kita menari seperti tarian zapin dan berzikir? Adakah kita boleh menari dangdut sambil berzikir (banyak berlaku di Indonesia). Andai kata kita lakukan dengan memenuhi kriteria iaitu diasingkan lelaki dan perempuan dan beberapa perkara lain yang tuan guru gariskan diatas, tetapi lenggok tariannya menyamai tarian seperti Jenifer lopez atau paling kurang melompat setempat seperti ajaran sesat yang pernah dipaparkan di TV dan internet, adakah boleh berzikir begitu?
Pada pendapat saya yang masih lagi daif ilmunya, adalah wajar kita gariskan satu panduan mengenai zikir sambil menari yang dibenarkan kerana khuatir nanti dimajlis keraian atau konsert-konsert akan ada zikir sambil menari di atas pentas yang lantas menimbulkan fitnah dan merendahkan martabat ISLAM. Bentuk tarian dan cara tarian Jaafar Abi Tolib juga tidak dijelaskan dan terbuka kepada pelbagai perpektif. Malah, pada dalil pertama dan kedua juga tidak dinyatakan bahawa ada tarian dalam berzikir. Kita sandarkan pada berjalan, menaiki unta, berbaring dan duduk yang dimana pergerakkan dan lenggok badannya tidak sama dengan tarian. Malahan, ada pelbagai jenis tarian dari yang sekadar lompat setempat hinggalah terkinja-kinja ala hip-hop dan band rock... Maka, saya harap tuan guru dapat jelaskan lagi tarian yang dibenarkan kerana khuatir nanti orang gunakan penjelasan tuan guru untuk menghalal/mengharuskan tarian dengan berzikir yang akhirnya membawa kemudaratan dan merendahkan martabat ISLAM.

Kesimpulannya:
1. Perlukan satu muzakarah antara ulama dan majlis fatwa bagi mengeluarkan garis panduan yang menyeluruh mengenai Zikir Sambil Menari ini.

2. Perlukan satu demonstrasi akan tarian yang dibenarkan untuk digunakan sambil berzikir.

3. Perlukan pada satu pemantauan agar ia tidak disalah gunakan.

1 comments:

amy mastura said...

tak ada pula berfirman Allah SWT menyatakan berzikir sambil menari.
kisah Jaafar bin Abi Talib r.a tu, tak ada pula nabi mengatakan menari sambil berzikir. Jaafar bin Abi Talib r.a menari kerana gembira, bukan menari sambil berzikir.

Post a Comment