Jika hanya Allah dihatimu

Thursday, May 9, 2013

Setelah tamatnya pilihanraya yang ke-13 di Malaysia (PRU13 pada 05.05.2013) dan keluarnya keputusan yang diumumkan, ada yang bersorak gembira dan ada yang berduka. Malah ada yang boleh dikategorikan sebagai 'gila meroyan' kerana tidak mampu menerima hakikat kekalahan pada ketika impian kemenangan sudah merasuki jiwa. Malah, semakin kuat pula serangan fitnah dan pembohongan, hanya kerana kuasa yang diinginkan tidak dicapai.

Melihat pada senario ini, saya agak sedih apabila kebanyakkan insan yang saya kenal bertindak mengeluarkan kenyataan yang berasaskan kepada perasaan amarah dan penolakkan sedangkan kebanyakkan mereka ini ialah orang yang menyokong sebuah parti yang perlembagaannya menyatakan akan mendaulahkan ISLAM di negara ini. Ramai juga mereka ini merupakan penyokong sebuah parti yang pada asasnya ditubuhkan untuk menuntut keadilan. Malah ramai juga yang lidahnya tidak berhenti-henti mengucapkan "Cukuplah Allah bagiku" dan "Tiada daya melainkan dengan kehendak Allah".

Namun, bila hati dirasuki dendam dan dikuasai dengan perasaan amarah dan gilakan kuasa dunia, maka, apa yang diucap hanya tinggal dibibir. Apa yang tertulis di dalam Al-Quran sudah tidak dihayati atau mungkin dilupakan atau ditinggalkan. Apa yang dianjurkan oleh majoriti ulama juga ditolak ketepi.

Sesungguhnya, bila ini terjadi, saya hanya memandang dengan penuh rasa belas kasihan kerana bagiku, selama ini, saya memandang tinggi pada orang yang perjuangkan ISLAM. Tetapi, kini saya fahami akan hakikat akan pejuang ISLAM, andai tidak disaluti dengan IMAN, maka, perjuangannya tidak kemana dan hanya kerana kuasa dunia.

Cukuplah Allah Bagiku

3:173





Maksudnya: Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)". (Ali-Imran: 173)

Dalam menjelaskan ini, saya ingin sekali membawa 2 kuliah Dr Asri (a.k.a MAZA)  yang ada kaitan dengan ayat tersebut.

  1. Dr Asri - Hasbunallah wa ni'mal wakil
  2. Dr Asri - Boleh jadi kamu tidak suka tapi itu baik untuk kamu


Apabila tidak berpuas hati, maka terjerit-jeritlah mereka itu melaungkan ketidak-adilan sedangkan ketika mereka yakin akan kemenangan, mereka tidak peduli pada hal lain dan bibir-bibir mereka tidak berhenti bercakap "Cukuplah Allah bagiku". Namun bila terjadi sebaliknya, maka ucapan itu hanya dibibir dan yang jelas menebal di hati ialah "Tidak cukup melainkan kuasa ditangan". Ini jelas menunjukkan betapa mereka tidak menghayati langsung perihal ayat diatas.

Tiada daya melainkan Allah
Malah, mereka sudah lupa bahawa setiap sesuatu yang terjadi tidak akan terjadi jika tiada dalam perancangan Allah. Setiap kali ketika azan dan iqamah, mereka menjawab pada salah satu ungkapana dengan
"لا حول ولاقوة إلا بالله" 
"Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan bantuan Allah"


Malah, mereka juga membaca Al-Quran berkaitan dengan penyerahan diri pada Allah @ Tawakal.


3:159




Maksudnya: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.(Ali-Imran: 159)


65:2




Maksudnya: Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), (Ath-Thalaaq: 2)



Maksudnya: Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.(Ath-Thalaaq: 3)


Maksudnya: Berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: "Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman" (Al-Maidah: 23) 

Tetapi, apabila sudah tawakal dan keputusan tidak seperti jangkaan, mereka ini mula meroyan sedangkan mereka lupa bahawa perancang terbaik ialah Allah

3:54


Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya. (Ali-Imran: 54)


Dan seandainya pihak yang menang itu menipu, maka pastinya akan dibalas oleh Allah kerana ini sudahpun dikata Allah dalam Al-Quran. Tapi mengapa mereka ini masih mempertikaikan akan kehendak Allah dan perancangan Allah?

Keajaiban tawakal


Jangan lupa pada Allah
Allah telah menetapkan qada & qadarnya dan jangan kita lupa akan itu dan janji Allah kerana Allah tetap akan bersama dengan orang yang benar. Dan andai mereka itu benar dan beriman, maka bersabarlah dan bukannya menghilangkan akal dan pegangan kerana tidak memegang kuasa kerana sesungguhnya perancangan Allah lah yang terbaik. 

Jangan kita lupa bahawa jika Allah kita berserah segalanya, maka segalanya akan Allah permudahkan dan pertunjukkan. Redha dengan ketentuannya maka keredhaanlah yang akan kita terima

Hanya Allah bagiku


Sumber Internet:

  1. Quran (secara online - http://www.antaramedia.com/quran/)
  2. Youtube
  3. http://www.iluvislam.com/fotografi/fotojournal/4788-la-hawla-wala-quwwata-illa-billah.html
  4. http://mujahadahmuslimah.blogspot.com/2009/10/tawakal-kepada-allah.html
  5. http://wanwma.com/agama/kelebihan-menyebut-la-hawla-wala-quwwata-illa-billah/
  6. http://www.oocities.org/farouq1965/TPSM/3f.htm
  7. http://mahaza.blogspot.com/2013/04/allah-sebaik-baik-perancang.html


Langkah-langkah yang bijak bagi seorang MUSLIM dalam memilih pemimpin

Monday, April 29, 2013

Demam PRU13 semakin ketara ditambah pula dengan cuaca yang silih berganti antara panas terik dan hujan lebat bersama kilat memancar-mancar. Ramai yang kini merasakan akan bahang suhunya yang terlampau hangat, sama ada melalui ceramah politik atau ceramah agama bersulamkan politik mengumpat atau media perdana atau media politik atau media alternatif alaf baru seperti SMS, MMS, twitter, FB, Blogs, dan sebagainya.


Kedua-dua pihak begitu bersungguh dalam menjual janji melalui manifesto sama ada manifesto secara umum atau khusus dengan penambahan mengikut kawasan. Bagi seorang yang berpelajaran dan berpandangan jauh, manifesto yang diberi di analisa dan dibandingkan secara ilmiah dan bukan secara semberono kerana apa yang didendangkan dalam manifesto mungkin sama tetapi berbeda cara pelaksanaannya kerana masing-masing tidak mahu menanam tebu dibibir dan membiarkan masyarakat dibuai janji manismu kerana manifesto bukan janji dan janji mungkin dicapati.


Bagi yang hatinya tertutup rapat dan tidak mempunyai logik untuk berfikir, maka apa jua yang dibentangkan oleh pihak bertentangan akan dilihat sebagai retorik politik tanpa prejudis. Namun, sebagai seorang ISLAM, dimana pemilihan pemimpin amat dititikberatkan, kriteria dan langkah yang berhemah dan berhikmah perlu diambil kira dan dilaksanakan bagi memastikan calon yang berwibawa akan dipilih. Calon ini ialah bukan calon yang setakat mampu berjanji dan berkata-kata (ceramah) tetapi calon yang amanah dan berkemampuan seperti mana dinyatakan melalui ayat Allah dan hadith Rasul S.A.W dibawah.


Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sebaik-baik pemimpin kamu ialah kamu mengasihi mereka dan mereka mengasihi kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Dan seburuk-buruk pemimpin ialah kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu dan kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu.” (Riwayat Muslim).



Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang melantik seorang lelaki untuk mengurus dan memerintah satu kaum sedangkan ada yang Allah lebih reda daripada lelaki itu, sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan orang beriman.” (Riwayat Hakim).
Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya kamu akan menakluk di timur dan di barat bumi. Semua pemimpin-pemimpinnya berada dalam neraka kecuali dia bertakwa kepada Allah dan yang memegang amanah.” (Riwayat Ahmad).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud : “Bila diserahkan sesuatu urusan (amanah) kepada yang bukan ahlinya, tunggulah saat kegagalan atau kerosakan." (Muttafaq Alaih).

Firman ALLAH SWT bermaksud : “Sesungguhnya orang terbaik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah yang kuat lagi beramanah.” (Al-Qasas: 25).

Firman ALLAH, menceritakan ungkapan Nabi Yusuf as. bermaksud : “Berkata Yusuf, jadikan aku bendaharawan negara Mesir, sesungguhnya aku orang yang pandai menjaga (mengurusi) lagi berpengetahuan.” (Yusuf : 55).

ALLAH Taala berfirman bermaksud : “Sesungguhnya kamu (wahai Yusuf) mulai hari ini, menjadi seorang pemimpin yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai.” (Yusuf : 54).

Firman allah SWT didalam surah an-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil, sesungguhnya Allah dengan (suruhanya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.”
Sabda nabi di dalam sebuah hadis yang bermaksud: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinanya. Imam (ketua negara) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinanya. Suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinanya. Wanita (isteri) pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinya. Orang gaji adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan di tanya mengenai kepimpinanya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu daud, Termizi)

Firman Allah bermaksud:
“(Iaitu) orang-orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar dan kepada Allahlah kembali segala urusan.” (Surah al-Haj : ayat 41).

Sabda Rasulullah didalam sebuah hadis yang bermaksud: “Tujuh golongan yang berada di bawah naungan Allah ketika pada hari tersebut tiada naungan melainkan naungannya, antaranya ialah pemimpin yang adil.” (Hadis riwayat Bukhari).

“Wahai Abu Zar, sesungguhnya kamu lemah, sedangkan jawatan ini amanah dan pada hari kiamat kelak satu kerugian dan penyesalan.”


Maka, sesungguhnya, begitu banyak sekali ayat Allah didalam Al-Quran dan melalui hadith Rasul S.A.W yang memperihalkan akan tanggungjawab memilih pemimpin serta ciri-ciri pemimpin. Dikala ini, setiap pihak saling menunding jari mencari kelemahan pihak lawan sehingga membawa kepada fitnah, keji-mengeji, mahupun mengumpat. Saban hari, kita disogokkan dengan pelbagai maklumat dari pelbagai pihak, baik yang baik mahupun yang buruk mengenai lawan masing-masing dan ada yang bertekad berdasarkan pada maklumat ini. Malah, ada yang mengeluarkan kenyataan seperti "Saya ahli UMNO, tapi saya sokong PKR dan akan undi PAS" dan "Saya orang PAS, tapi saya benci DAP dan PKR.. oleh itu saya akan undi BN". Selain itu, ada juga yang telah pun menetapkan hati pada parti yang akan dipangkah tanpa berfikir dan menganalisa dengan mendalam sehingga mereka lupa pada satu ajaran penting dalam ISLAM.. yakni, berpeganglah pada tali Allah dalam setiap perkara, nescaya kita tidak akan tersilap jalan; didalam hal ini ialah tersilap pilih. Ramai yang yakin dengan pilihan masing-masing tanpa merujuk kembali kepada Allah. Semua berpendapat bahawa calon pilihan mereka ialah yang terbaik dan yang Allah redhai berdasarkan firman Allah dan hadith Nabi. TETAPI!!! Pernahkah mereka kembali kepada fitrah dalam membuat pilihan yang benar-benar diredhai Allah?

Oleh itu, disini, saya menggariskan beberapa langkah yang sepatutnya kita jadikan amalan dalam membuat pemilihan.
Langkah-langkah yang bijak bagi seorang MUSLIM dalam memilih pemimpin ialah:

1. Melihat pada manifesto calon yang bertanding dan menganalisa secara mendalam dengan mengumpul maklumat berkaitan janji yang disenaraikan dan melihat secara praktikal akan proses dan pelaksanaan janji yang diberikan. Ini kerana adakalanya janji itu cukup menarik tetapi dari segi praktikal ia akan mendatangkan beberapa masalah dimasa akan datang. Untuk membolehkan ini dilaksanakan, satu anjakan paradigma dan pandangan yang jauh diperlukan bagi menafsir dan menghuraikan satu persatu janji bersama kebarangkalian impak yang akan berlaku. Jangan sekadar melihat kesan dari janji itu, tetapi merenung jauh akan implikasi dari kesan tersebut secara menyeluruh.

2. Jangan melihat pada peribadi calon berdasarkan pada maklumat tersebar melainkan kita mampu mendapatkan jawapan dari calon secara bersemuka kerana adakalanya maklumat yang disebarkan hanya sebahagian atau berdasarkan interpretasi seseorang yang prejudis tetapi bukan maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh calon itu.

3. Langkah yang paling utama selepas dua langkah terdahulu ialah kembali kepada Allah. Laksanakan solat taubat, isthikarah, dan hajat memohon petunjuk dari Allah S.W.T. Para ulama terdahulu, dalam melaksanakan atau membuat sesuatu keputusan berdasarkan sesuatu keadaan, mereka akan memperbanyakkan solat memohon petunjuk dari Illahi terutama apabila berada pada 2 persimpangan dan mencari redha Allah. Dalam hal ini, sebagai seorang MUSLIM, memilih pemimpin yang diredhai Allah merupakan hajat yang diinginkan.

4. Selepas itu, perbanyakkan doa dan antara doa yang disarankan ialah doa yang juga diamalkan oleh baginda Rasul S.A.W:
Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku untuk selalu taat kepada-Mu.’

In Shaa Allah, dengan rahmatNYA, moga-moga kita mendapat hidayah Allah dalam memilih pemimpin dan menjadi MUSLIM yang beruntung di dunia dan akhirat kerana pilihan itu. :)

Akhir kata... Jom Mengundi :)

“Sesungguhnya orang Mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah Al-Hujuraat, ayat 10).

p/s: Demi sekeping roti bakar secawan kopi 'O panas :) ...