Ranking Sektor Akademik

Friday, June 21, 2024

Kita memang suka dengan nombor terutamanya nombor 1, top 3, top 5, top 10, dan seterusnya. Dari kecil hinggalah ke liang lahat, tetap dengan ranking. Siapa menang, siapa atas sekali, siapa mati dulu menjadi antara perkara yang ingin kita ketahui.

Dan terbaru, ranking universiti dipersoal kerana universiti lebih gemar mengejar ranking dari menghasilkan graduan yang diperlukan industri.



Sebelum itu, kita juga melihat kedudukan sekolah dan mula mempersoalkan sekolah mana yang baik dan mana yang tidak. Menjadikan ada kasta di kalangan sekolah sendiri serta membandingkan sekolah biasa, sekolah berasrama penuh, dan sebagainya. Setelah itu, dengan adanya jabatan netizen negara, mulalah perang kutuk mengutuk mengenai sekolah, riak dan bangga pasal sekolah, serta menunjuk-nunjuk fasiliti kelas atasan sekolah yang menjadikannya sekolah terbaik.

Ini pula pendapat saya mengenai perkara ini.

Ranking sekolah terbaik berdasarkan gred purata adalah tidak adil jika hanya mengambil kira faktor kejayaan peperiksaan. Malah, cara ia dibandingkan dan diletakkan dalam kedudukan juga tidak menggunakan metod dan proses yang adil. 

Adilkah sekolah biasa dibandingkan dengan sekolah berprestasi tinggi? 

Adilkah jika sekolah biasa dibandingkan dengan sekolah berasrama penuh?

Adil atau tidak sekolah di bandar dibandingkan dengan sekolah di kampung?

Adakah adil sekolah yang penuh dengan fasiliti baik dibandingkan dengan sekolah yang hanya ada padang dikongsi pelbagai acara?

Adilkah sekolah yang muridnya belajar sains dibandingkan dengan sekolah yang belajar sastera?

Adilkah sekolah yang berlandaskan integrasi sains islam dibandingkan dengan sekolah yang pure sains sahaja?

Jika kita hendak buat ranking sekolah, biarlah adil. SMKA dibandingkan dengan SMKA yang lain. SMK dibandingkan dengan SMK yang lain. SBP dibandingkan dengan SBP. Aliran sains dibandingkan dengan aliran sains sahaja. Barulah kita nampak adil dan kedudukan sekolah yang sebenar.

Dalam pada itu, saya juga berharap agar universiti dan pihak yang memberikan biasiswa dan pinjaman pendidikan tidak hanya melihat pada ranking sekolah untuk memilih pelajar. Lihatlah juga pada mereka yang benar memerlukan. 



Pesan saya, jangan asyik nak kejar ranking dan tengok ranking hingga lupa kepada asas kewajipan sebenar, iaitu menggilap mereka demi masa depan negara yang cemerlang.

4 May 2020 - Kemenangan atau permulaan pada kegagalan?

Ramai menarik nafas lega apabila Perdana Menteri mengumumkan bahawa kebanyakkan sektor-sektor ekonomi akan mula dibuka dan dibenarkan beroperasi (teks ucapan perdana menteri). Sejurus dari itu MKN, melalui aplikasi telegram rasminya di https://t.me/MKNRasmi telah mengeluarkan garis panduan oleh beberapa kementerian terbabit akan SOP (Piawaian Prosedur Operasi). Antaranya dari MITI, KPDNHEP, KBS, dan MEDAC.

Majikan seharusnya gembira kerana dapat memulakan kembali aktiviti ekonomi tertangguh selama ini. Bagi mereka yang selama ini perlu mencari nafkah, dengan PKP-B ini, maka perjalanan untuk mencari rezeki boleh dilakukan mengikut terma dan syarat seperti yang dimaklumkan melalui MKN.

Namun, ramai juga yang meminta agar kerajaan mengkaji semula kebenaran ini. Ini kerana jumlah positif masih ada dengan yang terkini (dicatatkan semalam ialah sebanyak 69 kes  seperti diterbitkan di telegram MKN - https://t.me/MKNRasmi/2117). Dengan jumlah yang masih belum surut ini, ramai melahirkan kerisauan akan adanya gelombang kedua yang mungkin tidak terkawal seperti mana pernah berlaku di beberapa negara serta ketika berlakunya pandemik yang sebelumnya seperti 'spanish-flu'. Apabila berlakunya gelombang kedua ketika jumlah pesakit masih belum surut, ia akan menyebabkan tsunami yang mungkin tidak mampu kita kawal seperti mana dalam lipatan sejarah sebelum ini.

Walau bagaimana pun, saya yakin bahawa kerajaan telah berbincang dan ada perancangan teliti dalam memastikan tidak akan berlakunya gelombang kedua ini.