Kita memang suka dengan nombor terutamanya nombor 1, top 3, top 5, top 10, dan seterusnya. Dari kecil hinggalah ke liang lahat, tetap dengan ranking. Siapa menang, siapa atas sekali, siapa mati dulu menjadi antara perkara yang ingin kita ketahui.
Dan terbaru, ranking universiti dipersoal kerana universiti lebih gemar mengejar ranking dari menghasilkan graduan yang diperlukan industri.
Sebelum itu, kita juga melihat kedudukan sekolah dan mula mempersoalkan sekolah mana yang baik dan mana yang tidak. Menjadikan ada kasta di kalangan sekolah sendiri serta membandingkan sekolah biasa, sekolah berasrama penuh, dan sebagainya. Setelah itu, dengan adanya jabatan netizen negara, mulalah perang kutuk mengutuk mengenai sekolah, riak dan bangga pasal sekolah, serta menunjuk-nunjuk fasiliti kelas atasan sekolah yang menjadikannya sekolah terbaik.
Ini pula pendapat saya mengenai perkara ini.
Ranking sekolah terbaik berdasarkan gred purata adalah tidak adil jika hanya mengambil kira faktor kejayaan peperiksaan. Malah, cara ia dibandingkan dan diletakkan dalam kedudukan juga tidak menggunakan metod dan proses yang adil.
Adilkah sekolah biasa dibandingkan dengan sekolah berprestasi tinggi?
Adilkah jika sekolah biasa dibandingkan dengan sekolah berasrama penuh?
Adil atau tidak sekolah di bandar dibandingkan dengan sekolah di kampung?
Adakah adil sekolah yang penuh dengan fasiliti baik dibandingkan dengan sekolah yang hanya ada padang dikongsi pelbagai acara?
Adilkah sekolah yang muridnya belajar sains dibandingkan dengan sekolah yang belajar sastera?
Adilkah sekolah yang berlandaskan integrasi sains islam dibandingkan dengan sekolah yang pure sains sahaja?
Jika kita hendak buat ranking sekolah, biarlah adil. SMKA dibandingkan dengan SMKA yang lain. SMK dibandingkan dengan SMK yang lain. SBP dibandingkan dengan SBP. Aliran sains dibandingkan dengan aliran sains sahaja. Barulah kita nampak adil dan kedudukan sekolah yang sebenar.
Dalam pada itu, saya juga berharap agar universiti dan pihak yang memberikan biasiswa dan pinjaman pendidikan tidak hanya melihat pada ranking sekolah untuk memilih pelajar. Lihatlah juga pada mereka yang benar memerlukan.
Pesan saya, jangan asyik nak kejar ranking dan tengok ranking hingga lupa kepada asas kewajipan sebenar, iaitu menggilap mereka demi masa depan negara yang cemerlang.